Rumah Ronald McDonald di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah bakal dibuka!!!

August 22, 2022


Minggu lalu sempat menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), untuk penubuhan Rumah Ronald McDonald di Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Sabah. RMHC Malaysia telah diwakili oleh Dato’ Azmir Jaafar, Presiden RMHC Malaysia merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia dan Mohd Nasri Mohd Nordin, Pengurus Besar, RMHC Malaysia, manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diwakili oleh Datuk Harjeet Singh A/L Hardev Singh selaku Ketua Setiausaha, KKM  dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) diwakili oleh Dr. Marcus Netto selaku Pengarah.

                   


Upacara menandatangani perjanjian persefahaman ini disaksikan oleh Datuk Ir. Shahelmey Bin Yahya, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap EXCO Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalan Menteri Kesihatan II, dan Datuk Dr. Rose Nani Mudin, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.


APA ITU RUMAH RONALD McDONALD?

Mungkin ada diantara rakyat Sabah belum mengetahui apa itu  Rumah Ronald McDonald.

Menurut Dato’ Azmir Jaafar, “Rumah Ronald McDonald pertama di Malaysia telah dibina pada tahun 1999, bertujuan menawarkan penginapan yang mudah, selesa dan berpatutan dalam pekarangan hospital kepada keluarga pesakit kanak-kanak. Kami mahu meringankan beban kewangan dan emosi yang dihadapi keluarga terlibat, terutamanya yang daripada golongan B40, di mana anak mereka perlu mendapatkan rawatan perubatan. Memberi sokongan kepada golongan masyarakat yang memerlukan ketika waktu-waktu sukar adalah teras utama bagi Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia).”

Katanya lagi pembinaan Rumah Ronald McDonald ke-empat di negara ini di Sabah dapat dilakukan terima kasih kepada hasil sumbangan ikhlas orang ramai melalui tabung derma RMHC dan kios pesan sendiri yang terdapat di lebih 300 restoran McDonald’s di seluruh negara.




Rumah Ronald McDonald di HWKKS juga akan dilengkapi dengan 16 bilik keluarga termasuk kemudahan lain untuk kegunaan keluarga seperti dapur dan ruang makan, bilik dobi, ruang istirahat, bilik permainan kanak-kanak dan juga bilik solat.

Selain Rumah Ronald McDonald di HWKKS yang dijangka dibuka pada 2023 dan yang bakal dibina di Sarawak selepas ini, terdapat tiga lagi Rumah Ronald McDonald yang telah beroperasi di Semenanjung Malaysia. Salah satunya terletak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM) di Kuala Lumpur yang sudah lebih 20 tahun beroperasi; satu lagi di Hospital Tunku Azizah di Kuala Lumpur dan yang lainnya di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) di Kubang Kerian, Kelantan. Selain itu terdapat lebih 370 Rumah Ronald McDonald di seluruh dunia yang menyediakan penginapan kepada keluarga yang mempunyai anak yang dirawat di hospital-hospital dan fasiliti-fasiliti perubatan berdekatan.



Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalan Menteri Kesihatan II telah menyatakan “Kami sangat berbangga dapat menyokong inisiatif yang sangat bermanfaat seperti ini, memandangkan kita melihat banyak keluarga yang terpaksa berulang-alik untuk menjaga anak mereka yang sedang menerima rawatan perubatan di hospital. Rumah Ronald McDonald dibina dalam pekarangan hospital yang membolehkan keluarga yang terlibat mendapat kemudahan penginapan dengan harga berpatutan dan supaya mereka berada berdekatan dengan anak apabila diperlukan. Ini secara langsung memberikan ketenteraman kepada keluarga serta mengurangkan beban yang dihadapi. Kerjasama antara pihak Kementerian dan RMHC Malaysia menyatakan komitmen kami untuk terus membantu keluarga untuk sentiasa dekat bersama melalui inisiatif ini.”  

Selain dari itu, RMHC Malaysia juga melaksanakan empat program utama untuk membantu kanak-kanak di Malaysia iaitu Rumah Ronald McDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald, ‘Gift of Smile’ dan pek Kembali ke Sekolah untuk kanak-kanak sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan. Program-program ini berdasarkan tiga teras utama RMHC Malaysia iaitu Kesihtan, Pendidikan dan Kebajikan.

So, korang yang nak menderma bolehlah membuat sumbangan di tabung derma RMHC Malaysia, melalui Kios Pesan Sendiri di restoran McDonald’s dan juga saluran pembayaran digital seperti PayPal, Boost, e-dompet Touch ‘N Go dan platform e-dagang Shopee.

 Untuk maklumat lanjut mengenai RMHC, sila layari https://rmhc-malaysia.my/ 

You Might Also Like

0 comments